Ipoh: Polis telah memanggil lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pendaki, Mustaqqeem Mansor, yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat dekat Tanjong Malim, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim Deputi Superintendan Suhaimi Muhamad berkata, individu yang dipanggil terdiri daripada peserta dan rakan pendaki kepada mangsa yang turut menyertai ekspedisi berkenaan.

“Tiga lagi pendaki yang belum dirakam keterangan dan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan. Tiga lagi pendaki ini difahamkan pulang terus selepas tiba di kaki gunung atas urusan kerja dan cuti,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Suhaimi berkata, penganjur aktiviti pendakian itu juga dikenal pasti dan akan diminta hadir memberikan keterangan tidak lama lagi.
“Setakat ini, siasatan dijalankan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu, hasil bedah siasat di Hospital Slim River mendapati punca kematian Mustaqqeem, 34, adalah akibat hipotermia atau kesejukan melampau.
Mangsa ditemukan meninggal dunia kira-kira 3.30 petang, 16 Okt, di puncak Gunung Liang sebelum jenazahnya dibawa keluar menggunakan helikopter AW189 milik Pasukan Khas Udara Bomba pada Jumaat lepas.

KUALA LUMPUR: Seorang rakan Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, pendaki yang maut di Gunung Liang ketika menyertai ekspedisi Trans Slim dari Bukit Fraser, terkilan kerana mangsa didakwa ditinggalkan berseorangan hanya kerana kekejangan otot.
Dalam satu perkongsian di Facebook, rakannya yang dikenali sebagai Fahmi Pawzi turut meluahkan rasa kecewa jika benar kumpulan pendaki lain meninggalkan Allahyarham untuk mengejar pace atau kelajuan pendakian.
“Dia tinggal hang sorang-sorang sebab hang injured (cedera). Dia cakap dekat aten (isteri Allahyarham, Nur Faratin Mohd Othman), injured hang tu cramp.

“Aku ingat hang injured berat, patah ke, ACL (ligamen krusiat anterior), MCL (ligaman kolateral medial), PCL (ligamen krusiat posterior) semua.
“Sebab cramp je dia tinggal demi nak kejar pace dia. Betul ke dia kawan baik hang Mus? Dia cakap dia tak tinggal, kenapa dia sampai bawah dulu dah tau kaki hang sakit?,” soalnya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook semalam.
Media sebelum ini melaporkan Mustaqqeem, 34, bersama 10 lagi pendaki memulakan pendakian mereka pada 10 Oktober di Bukit Fraser dan dijadual menamatkan ekspedisi di Gunung Liang.
Allahyarham kali terakhir dilihat berada di puncak Gunung Liang Barat bersama seorang lagi individu pada jam 10.30 malam, 14 Oktober.
Beliau dilaporkan mengalami kecederaan di kaki dan dilihat berjalan dengan perlahan sebelum dilaporkan hilang. Bedah siasat mendapati Allahyarham meninggal dunia akibat hipotermia.
Fahmi dalam perkongsian sama, turut meluahkan rasa sedih apabila melihat foto sahabatnya itu yang terbaring kaku di puncak Gunung Liang.
Katanya, Mustaqqeem yang dikenalinya sememangnya tidak tahan cuaca sejuk.
“Mus bila tengok gambar hang bawah beirut (tempat berteduh sementara) tu, nampak hang tutup kepala selubung badan penuh. Aku dengan cidot (rakan) teringat bila dalam bilik dulu hang tak boleh sejuk. Hang tutup selimut badan hang.
“Hang tak boleh sejuk dari dulu, macam tulah bomba jumpa hang. Daus cakap post mortem badan hang macam fresh sebab kawasan atas tu sejuk,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai mendoakan sahabatnya itu yang disifatkan sebagai sahabat sejati dan selalu ada saat diperlukan.
“Mus, ramai yang ambil perhatian pada kau, ramai Mus. Walaupun kau kesejukan sorang-sorang, maafkan kami Mus. Kami semua sayang hang Mus,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.