KUALA LUMPUR: Pelakon Alicia Amin berpendapat setiap orang ada alasan tersendiri dalam membuat sebarang pengubahsuaian atau modifikasi terhadap tubuh termasuk mencacah tatu selagi tindakan itu tidak mendatangkan kesan atau menyakiti pihak lain.
Alicia atau nama penuh, Raja Alicia Raja Amin, 30, berkata pengguna mendia sosial atau netizen tidak sepatutnya mempersoal tindakan individu terbabit membuat perubahan pada penampilan dan imej mereka.
“Sikap segelintir orang yang pelik atau berlagak mengenai tatu, seolah-olah merekalah paling layak masuk syurga… Ini membuatkan saya kurang senang,” katanya menerusi hantaran Threads.
Alicia tertanya-tanya mengapa isu tatu menjadi bualan hangat dalam media sosial, sebelum mengetahui seorang pempengaruh media sosial membuat pengakuan mencacah tatu disebabkan masalah kemurungan.
Bagaimanapun, Alicia memilih untuk tidak menghakimi, sebaliknya, menegaskan setiap orang ada alasan tersendiri dalam berbuat sesuatu perkara.
“Kenapa pula keputusan untuk buat tatu boleh jadi viral? Saya sudah tua sangat untuk melayan perkara seperti ini… Biarkan sahajalah. Saya ada kerjaya dan tidak ada masalah pun,” katanya.
Alicia turut gembira melihat isu kesihatan mental boleh dibicarakan secara terbuka sekali gus membuka mata ramai pihak mengenai masalah itu.
“Saya gembira apabila semakin ramai orang mula bercakap mengenai kesihatan mental sekarang. Cuma. agak kecewa sebab masih ada yang terperangkap dengan cara berfikir yang sempit.
“Tetapi, anggaplah ini peluang untuk kita belajar mengenai kesihatan mental secara lebih terbuka dan tanpa prejudis, supaya kita lebih bersedia kalau ada orang terdekat perlukan sokongan.
“Ingat, kita tidak selalu faham apa yang orang lain sedang lalui. Jadi, pilihan terbaik adalah untuk sentiasa bersikap baik, beri sokongan dan menggalakkan mereka mendapatkan bantuan profesional,” katanya.
Please wait while you are redirected…or Click Here if you do not want to wait.Kredit : BHOnline
